Wednesday, 11 July 2012

Industri ternakan Arowana, kos tinggi tetapi pulangan lumayan

BANDAR BAHARU - Keberanian mencuba dalam industri yang berisiko tinggi menjanjikan keuntungan yang lumayan sekiranya projek itu berjaya. Pertaruhan antara untung dan rugi adalah lumrah dalam perniagaan.
Oleh kerana  minat yang tinggi terhadap ikan hiasan Arowana dua sahabat mendapat kepercayaan daripada Jabatan Perikanan Negeri Kedah untuk mengambil alih Projek Ternakan Ikan Hiasan Kampung Sungai Tengas dalam Daerah Bandar Baharu.  
Projek bernilai RM3 juta ini dibangunkan pada tahun 2007 dan siap sepenuhnya dua tahun kemudian, beritahu Encik Suhar Sharif.
Beliau bertindak sebagai Pengarah Urusan manakala sahabatnya Encik Zohri Mohd Taib sebagai Pengarah Operasi E-Arowana Trading.
Menurutnya, ladang ikan Arowana ini mempunyai 27 kolam induk dengan keluasan 0.01 ha. dan sebuah tangki simpanan air tetap berukuran 0.1 ha. terletak di atas tapak seluas 3.9 ha. milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), manakala kos permulaan dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Kedah melalui skim bantuan Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Setelah mengambil alih projek ini, semua kos ditanggung oleh syarikat kami termasuklah gaji pekerja tetap seramai tiga orang terdiri daripada penduduk tempatan, yang menjalan tugas-tugas seperti memberi makan ikan, membersih kolam dan menukar air, menjaga kebersihan kawasan serta pemantauan,” katanya.
Katanya, induk-induk ikan Arowana Variety Hightback, silver, merah dan hijau telah dimasukkan ke dalam kolam pada awal tahun 2010 dan telah menghasilkan 208 ekor anak-anak Arowana.
“Induk-induk tambahan akan dimasukkan ke dalam kolam-kolam yang masih kosong dalam masa terdekat bagi memenuhi semua kolam yang ada,” katanya.
Kolam ini terletak bedekatan dengan Sungai Tengas memudahkan air dipam dari hulu sungai menerusi paip sepanjang 9.5 kilometer.
Menyentuh mengenai minatnya terhadap ikan  ini katanya, industri ternakan ikan Arowana mencabar keberanian  mereka menubuhkan syarikat E-Arowana Trading yang pada awalnya hanya menjalankan  urusan  jual beli ikan Arowana sebagai orang tengah pada tahun 2000.
“Kami bersyukur kerana dengan pengalaman dan sedikit sebanyak pengetahuan dalam bidang ini kerajaan telah memberi kepercayaan kepada kami untuk mengambil alih pengurusan projek ini,” ceritanya.
Projek ini dijangka mendapat hasil pada tahun depan dan keuntungan akan dibahagikan antara syarikat dan peserta PPRT Keda Kampung Sungai Tengas. Projek ini diawasi oleh Jawatankuasa Penasihat Projek, dari Jabatan Pertanian Negeri Kedah dan Keda.
Mereka merasa bertuah kerana projek ternakan ikan Arowana ini mendapat perhatian daripada YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak apabila Menteri Besar itu meluangkan masa melawat projek tersebut baru-baru ini.

Drp: wartakedah.net

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...